Wednesday 11 January 2012

Buatmu Bernama Muslimah



Berbanggalah wahai muslimah dari keturunan Hawa. Dirimu adalah yang terbaik dan amat disanjungi oleh Nabi Muhammad s.a.w seperti mana Baginda mencintai dan mengasihi Isteri Baginda. Dijadikan dari tulang rusuk Adam bagi menyokong dan membantu Adam. Cuma jagalah beberapa perkara ini, jika dijaga dan dipertahankan perkara ini pintu syurga adalah tempat bagimu wahai Muslimah : -

1) Mentaati perintah suami (Selagi perintah itu tidak membawa kepada maksiat)

2) Menjaga kemaluan

3) Menjaga 5 waktu solat (Melainkan uzur) 

15 Sebab Turunnya Bala

Mengapa Manusia Ditimpa Bencana? Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana iaitu:


1. Apabila harta yang dirampas (daripada peperangan) diagih-agihkan kepada orang-orang yang tertentu sahaja.
2. Apabila zakat dikeluarkan kerana penebus kesalahan (terpaksa).
3. Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.
4. Apabila suami terlalu mentaati isteri.
5. Apabila anak-anak menderhakai ibu bapa masing-masing.
6. Apabila seseorang lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
7. Apabila kedengaran banyak bunyi bising.
8. Apabila lebih ramai berbicara mengenai hak keduniaan di dalam masjid.
9. Apabila sesuatu kaum itu terdiri daripada orang yang dihina oleh mereka.
10. Apabila memuliakan seseorang kerana takutkan tindakan buruknya.
11. Apabila arak menjadi minuman biasa.
12. Apabila lelaki memakai sutera.
13. Apabila perempuan dijemput menghiburkan lelaki.
14. Apabila wanita memainkan alat-alat muzik.
15. Apabila orang yang terkemudian menghina orang terdahulu, maka pada saat itu tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin merah (puting beliung) atau gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman yang tidak menjadi.


Seandainya kita sama-sama merenungi hadis di atas, tidak dapat tidak kita akan menerima hakikat bahawa bencana yang menimpa sesuatu kaum itu adalah berpunca daripada perbuatan mereka sendiri. Oleh itu, kembali kepada yang dituntut oleh Islam, semoga kehidupan kita akan dirahmati keamanan dari dunia hingga ke akhirat.

Ahli Ibadah dengan Pelacur Yang Cantik Jelita

Al-Hasan meriwayatkan, bahawa dahulu ada seorang pelacur yang sangat cantik jelita. Dia tidak mahu melayani orang yang datang kecuali jika dibayar sebanyak seratus dinar.Secara kebetulan pada suatu hari ada seorang ahli ibadah yang melihat wajah pelacur cantik itu sehingga membuatkan ahli ibadah itu tertarik dan jatuh cinta kepadanya. Kerana lelaki ahli ibadah itu mengetahui, bahawa untuk dapat dilayani oleh pelacur cantik itu orang harus memberinya wang sebanyak seratus dinar, maka lelaki ahli ibadah itu akhirnya pergi mencari pekerjaan untuk mengumpulkan wang sebanyak itu.

Setelah wang sebanyak seratus dinar itu dapat dikumpulkan, dia pun pergi menemui pelacur cantik itu serta berkata kepadanya: “Kecantikanmu telah membuatkan aku benar-benar tergoda, oleh kerana itu, aku telah berusaha sedaya upayaku untuk mendapatkan wang seratus dinar sebagaimana yang engkau kehendaki itu.”Wanita pelacur itu berkata: “Silakan masuk ke rumahku.”Dengan tidak berfikir panjang, ahli ibadah itu langsung masuk ke rumahnya. Di dalam rumah pelacur yang cantik jelita itu ada tersedia sebuah tempat tidur yang dibuat dari emas. Pelacur itu lalu duduk di atas tempat tidurnya dan berkata: “Marilah segera mendekatiku.”

Ketika lelaki ahli ibadah itu bermaksud untuk memuaskan nafsunya, pada waktu itu juga tiba-tiba ia ingat kepada Allah sehingga menggigil seluruh tubuhnya. Kepada wanita pelacur tersebut lelaki ahli ibadah itu berkata: “Biarlah aku pergi saja meninggalkan kamu dan wang yang jumlahnya seratus dinar itu ambillah olehmu!” Wanita pelacur itu kembali bertanya: “Apakah sebenarnya yang terjadi atas dirimu, bukankah kamu telah tergila-gila kepadaku sehingga kamu membanting tulang dan mengeluarkan peluh untuk mendapatkan wang sebanyak seratus dinar? Pada saat ini kamu telah mendapatkan apa yang kamu inginkan itu, akan tetapi mengapa kamu akan meninggalkan aku?”

Lelaki ahli ibadah itu berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah SWT dan juga atas kedudukanku selama ini di sisi-Nya. Berkemungkinan kerana aku akan pergi meninggalkan kamu, kamu merasa benci kepadaku, ketahuilah olehmu, sesungguhnya aku juga sangat membenci kamu kerana Allah. Wanita pelacur itu berkata: “Jika yang kamu katakan itu benar, aku tidak akan bersuami kepada orang lain melainkan kamu.”Lelaki ahli ibadah itu berkata: “Biarlah aku keluar!” Wanita pelacur itu menjawab: “Tidak, kecuali bila kamu mahu menjadi suamiku.”“Tidak, biarlah aku keluar dari rumahmu ini!” kata lelaki itu.

Wanita itu kembali bertanya: “Apakah yang membuatmu merasa keberatan bila aku memohon kepadamu supaya engkau mahu menikahi aku?”Lelaki itu menjawab: “Untuk menjadi isteriku boleh saja, akan tetapi aku harus pergi meninggalkan tempat ini kembali ke tempat biasanya aku melakukan ibadah.”Selepas berkata demikian, lelaki ahli ibadah itu langsung pergi meninggalkan rumah pelacur tersebut. Begitu juga dengan wanita pelacur itu ia ikut serta keluar dari daerahnya untuk bertaubat kepada Allah dan menyesali segala perbuatan yang telah dilakukannya. Wanita pelacur itu terus berjalan, hingga akhirnya ia sampai ke tempat asal lelaki ahli ibadah tersebut. Kepada ahli ibadah tersebut seseorang datang menemuinya dan berkata: “Sesungguhnya permaisurimu telah datang kepadamu.”

Ketika ahli ibadah melihat kedatangan wanita itu, ia terkejut dan langsung terjatuh dalam pelukan wanita pelacur yang cantik jelita itu. Pada waktu itu juga lelaki ahli ibadah tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir. Melihat keadaan demikian, kepada orang yang hadir wanita pelacur yang telah bertaubat itu bertanya? “Apakah lelaki idamanku yang telah meninggalkanku buat selama-lamanya ini ada mempunyai saudara?” Orang yang hadir pada waktu itu menjawab: “Ia ada mempunyai seorang saudara lelaki, akan tetapi saudara lelakinya itu hidup dalam keadaan kemiskinan.” “Jika memang demikian, aku akan menikah dengannya sebagai ganti dari lelaki yang aku cintai ini,” kata wanita itu.

Akhirnya wanita tersebut menikah dengan saudara lelaki ahli ibadah itu dan dari hasil pernikahan tersebut, Allah SWT mengurniakan kepada mereka sebanyak tujuh orang anak yang kemudian ketujuh orang anak tersebut menjadi nabi semuanya. 

Pesanan Roh Untuk Manusia

Apabila roh keluar daripada jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya, kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata: “Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirehat daripada seretan malaikat maut”.
                Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu: “Wahai orang yang memandikan janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh daripada tubuh”. Apabila dimandikan roh sekali lagi merayu: “ Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh”. Selepas dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengkafan kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai hari akhirat.
Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan: “ Demi Allah,wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. “Sesungguhnya pada hari ini aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya.” Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.
              Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: “Wahai kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalikan aku. “Seseungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku. Adapun di dunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku”.

Monday 9 January 2012

Antara Musibah atau Hikmah

Marilah kita menelaah semula peristiwa pemecatan Khalid ibnu Al Walid R.A dari jabatannya sebagai panglima tertinggi angkatan tentera Islam yang dilakukan oleh Khalifah Umar Al Khattab R.A. Pemecatan tersebut adalah satu peristiwa sejarah yang sangat mengkagumkan, peristiwa yang menayangkan keunggulan peribadi pejuang fi sabili' Llah. Dalam perhitungan rakyat jelata, tentu sahaja pemecatan tersebut merupakan tindakan yang tidak bijaksana.

Bagi mereka yang tidak berada di lapangan pentadbiran, mereka melihat Khalid dengan sifat kepahlawanannya yang luar biasa itu merupakan orang yang paling tepat untuk jabatan panglima agung dan tidak ada sebab yang jelas mengapa ia harus dipecat. Tetapi Umar dengan ketajaman pandangannya dapat melihat apa yang orang lain tidak mampu melihatnya. Lalu beliau mengambil tindakan pemecatan tersebut dengan bertawakkal kepada Allah dan menuluskan niat untuk mencari keredhaanNya semata.

Siapa yang tidak kenal Sahabat Rasulullah S.A.W, Saidina Umar al Khattab R.A yang memikul amanah sebagai seorang khalifah selepas Saidina Abu Bakar as Siddiq R.A? Dan siapa pula yang tidak mengenal pakar strategis di medan perang, Khalid bin Al Walid? Kedua-duanya adalah tokoh pejuang di belakanag Baginda Nabi S.A.W.

Apabila arahan pemecatan dikeluarkan oleh Khalifah Umar Al Khattab, Khalid R.A yang digelar pedang Allah menerima berita pemecatan tersebut dengan hati yang lapang. Dengan penuh rela diserahkan jabatannya kepada pengganti yang baru ditauliahkan oleh Umar iaitu Abu Ubaidah ibnu Al Jarrah. Khalid R.A sendiri barangkali tidak tahu dengan pasti mengapa pemecatan ini dilakukan, tetapi yang jelas ialah Khalid tidak meragui keikhlasan Umar Al Khattab dan menghormati kewibawaan pimpinannya.
Khalid meyakini bahawa pemecatan tersebut adalah untuk kebaikan seluruh umat, bukan kerana motif jahat, bukan motif menjatuhkan Islam, bukan motif kroni dan sebagainya, tetapi adalah bermotifkan keyakinan kepada perjuangan Nabi S.A.W. Kerana itu, Khalid dengan spontan patuh kepada perintah Umar dan tidak terlintas langsung sebarang tindakan penentangan, cakap-cakap mulut yang berterusan dan kerana itu ia tidak menghebohkan kepada orang ramai, khuatir ia akan menimbulkan reaksi yang kurang menyenangkan.

Nabi S.A.W pernah bersabda memuji Abu Ubaidah bin Al Jarrah, "Setiap umat memiliki orang kepercayaan. Dan orang kepercayaan umat ini ialah Abu Ubaidah bin Al Jarrah". Namun, pujian melangit Baginda S.A.W kepada Abdullah bi Al Jarrah tidak membuatkan Khalid berkecil hati. Jika kita merenung akal manusia yang cetek ini pasti terdetik dalam fikiran kita, "Apa lebihnya Abdullah bin Jarrah? Apa kurangnya Khalid bin Al Walid?". Namun, bukan soal kehebatan personal kedua-dua tokoh ini, tetapi sebaliknya adalah soal disiplin dan akhlak yang disemat sebaik-baiknya oleh kedua-dua tokoh para pejuang agama Allah ini.

Setelah diserahkan jabatannya kepada Abu Ubaidah, Khalid terus berkhidmat dengan setia di bawah pimpinan yang baru dan semangat perjuangannya itu kekal utuh sama seperti beliau menjadi pemimpin tentera. Komen spontan yang terbit dari tindakan Khalid menampakkan ketulusan hatinya, "Aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Umar". Inilah jiwa besar Khalid, bukannya menentang pimpinan setelah beliau dipecat, bukannya terbit perasaan tidak puas hati, bukannya membantah keputusan Umar.

Di pihak Abu Ubaidah pula, tidak pula beliau menampakkan kerakusannya terhadap jawatan, beliau akur agar perlantikannya dirahsiakan buat beberapa ketika. Sementara itu, pihak tentera dan umat Islam pula telah menerima perubahan tersebut dengan tenang, tidak ada yang membantah, yakin bahawa tindakan Umar adalah tindakan yang didasari tawakkal dan petunjuk Allah. Bukannya tindakan semberono, tindakan pengekor hawa nafsu dan peribadi, tindakan tanpa syura.

Seluruh tentera Islam merelakan pemecatan Khalid, sebagaimana Khalid merelakan dirinya dipecat dan mereka juga menerima perlantikan Abu Ubaidah sebagai Khalid menerimanya dengan ikhlas. Kewibawaan dan reputasi Abu Ubaidah tidak pernah dipertikaikan dan Khalid melihatnya sebagai alternatif yang berhak menggantikannya.

Demikianlah peristiwa besar, jiwa tarbiyah Khalid yang terus abadi dalam rakaman sejarah, menjadi lambang keunggulan umat yang ikhlas mengabdi dan berbakti hanya kepada Allah, hormat kepada pimpinan dan setia kepada pimpinan perjuangannya. Sesungguhnya bertuahlah umat yang sedia belajar dari sejarah ini, baik yang berkedudukan sebagai Umar, Khalid dan Abu Ubaidah radhiAllahu anhum ajma'ien. Betapa tingginya taqwa Para Sahabat, inilah hati-hati yang berada dalam satu saff yang dipuji oleh Allah Taala di dalam Al Quran :
"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh" - Surah As Saff:4, Al Quranul Karim

Cuba pula kita membandingkan kehidupan para pemimpin di sekeliling kita hari ini. Bagaimana mereka jika berada di bawah pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab R.A? Bagaimana jika mereka dipecat seperti Khalid bin Al Al Walid R.A? Dan Bagaimana pula jika mereka mengundang jawatan seperti Abu Ubaidah bin Al Jarrah R.A? 

Sunday 8 January 2012

Renungan Bersama~

Sekadar renungan……

Ya Allah, Anugerahkan kepada kami rasa takut kepadaMu yang dapat menghalangi kami dari berbuat maksiat kepadaMu; Anugerahkan kepada kami kekuatan untuk mentaatiMu yang dengannya Engkau memasukkan kami ke dalam syurgaMu; Anugerahkan kepada kami keyakinan (terhadap qadha’ dan qadarMu) yang dengannya Engkau menjadikan kami merasa ringan atas semua musibah dunia yang menimpa kami; berikan kepada kami kenikmatan dan manaat melalui pendengaran, penglihatan , dan kekuatan kami selama kami masih hidup dan jadikanlah semua nikmat dan manfaat itu tetap ada pada kami sampai kami mati; jadikanlah kami sebgai orang yang menuntut balas hanya kepada orang yang telah menzalimi kami; tolonglah kami dalam menghadapi orang yang memusuhi kami; janganlah Engkau timpakan musibah (keburukan) dalam urusan agama kami; janganlah Engkau jadikan kami sebagai orang yang menjadikan dunia sebagai tujuan utama kami dan janganlah Engkau jadikan kami sebagai orang yang hanya mengetahui dan memikirkan urusan dunia; dan janganlah kerana dosa yang telah kami perbuat, Engkau menjadikan orang yang tidak mengasihi kami sebagai penguasa negeri kami.

Ali bin Muqlah berkata:
Jika hati sudah dipenuhi keputusasaan
Dada yang lapang pun menjadi sesak
Segala kebencian dan kesusahan telah merasuk
Kebencian itu tertulis di seluruh penjuru sedang engkau
Tidak melihat adanya jalan keluar dari semua itu
Bahkan aqal orang yang cerdas sekalipun
Sudah tak mampu lagi menyiasatinya
Nescaya pada saat itu
Akan datang sebuah pertolongan
Guna menghilangkan segala kepuusasaanmu dari Dzat
Yang Maha Dekat dan Maha Mengabulkan
Bagaimanapun beratnya malapetaka itu
Jika sudah datang pertolongan
Pasti akan segera lenyap

Habis Madu Sepah Dibuang


Berjuang kerana Agama, Bangsa dan Tanah Air. Semoga diberkati~